Sejarah Penubuhan Syarikat - FTPSB

Sejarah dan Latarbelakang Felda dan Felda Technoplant Sdn Bhd

1956

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) ditubuhkan pada 1 Julai 1956

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) ditubuhkan pada 1 Julai 1956 dibawah ordinan tanah untuk membangunkan tanah dan penempatan semula masyarakat khususnya bumiputera. Objektif utama ialah untuk pembasmian kemiskinan melalui perusahaan tanaman kelapa sawit dan getah. Felda juga melaksanakan aktiviti pertanian, perindustrian dan komersial sosial ekonomi untuk menjana ekonomi khususnya komuniti peneroka pada masa itu.

1990

Pada tahun 1990, dengan arahan daripada Perdana Menteri pada masa itu, Tun Mahathir Mohamad Felda sudah tidak lagi mengambil peneroka.

Baki tanah yang sudah dimajukan dengan tanaman sawit pada masa itu diuruskan sendiri oleh Felda. Hasil daripada pendapatan ini digunakan untuk menjana kewangan Felda kerana pada tahun 1994, kerajaan pusat tidak akan menyalurkan apa-apa dana untuk pengurusan Felda. Untuk itu, Felda menubuhkan Bahagian Urus Ladang (BUL) yang bertanggungjawab menguruskan tanaman sawit milik Felda.

Felda mula membangunkan cadang perniagaan sendiri melalui penubuhan beberapa entiti korporat swasta. Ini adalah untuk memastikan kelicinan aktiviti perniagaan berasaskan aktiviti hiliran sawit. Ini termasuk aktiviti penapisan minyak sawit mentah (CPO), penghasilan produk untuk pengguna (Minyak masak, lemak sayuran dan bahan berasaskan sawit) serta pengangkutan minyak sawit untuk tujuan eksport. Antara yang terbesar ialah Koperasi Permodalan Felda (KPF) yang menjadi pemegang saham utama untuk Felda Holdings. Syarikat-syarikat baru yang mempunyai perniagaan dan bidang kepakaran yang khusus juga ditubuhkan sebagai subsidiari Felda Holdings. Antaranya ialah Felda Agricultural Services Sdn Bhd (FASSB) dan Felda Plantation Sdn Bhd (FPSB).

Felda beranggapan bahawa ladang peneroka Felda akan terus diuruskan oleh generasi baru peneroka untuk menyara hidup mereka. Namun begitu, kebanyakan generasi baru peneroka mula berhijrah keluar kerana mendapat peluang kerja yang lebih baik. Ini menyebabkan timbul pula keadaan di mana ladang peneroka tadi telah dipajakkan kepada pihak ke-3 dengan bayaran yang minimum. Akibatnya, peneroka tiada tabungan untuk aktiviti tanam semula yang semestinya memerlukan belanja yang besar. Lantaran itu, Felda sekali lagi campur tangan lalu mengarahkan FPSB untuk menjalankan kerja tanam semula di ladang milik peneroka.

1993

Bahagian Tanam Semula, Felda Agriculture Services Sdn Bhd

Kerja-kerja tanam semula ini kemudiannya diambil alih oleh Bahagian Tanam Semula, Felda Agricultural Services Sdn Bhd pada tahun 1993. Bahagian ini mempunyai sistem sumber manusia sendiri dengan tabungan kewangan sendiri meskipun bernaung di bawah FASSB. Pada ketika ini, rancangan yang diusahakan dengan program tanam semula dipanggil Projek Tanam Semula atau PTS. Dua projek terawal ialah PTS Ulu Jempul di Pahang dan PTS Bukit Besar di Johor. Kekuatan kakitangan pada masa itu adalah seramai 9 orang.

Pada tahun 1998 Bahagian ini diletakkan di bawah Felda Plantations Sdn Bhd dimana operasinya masih sama iaitu menguruskan tanam semula kebun-kebun peneroka. Walaubagaimanapun, ia dipindahkan semula di bawah Felda Agricultural Services Sdn Bhd pada tahun 2003 sehingga tahun 2005

2005

Penubuhan syarikat Felda Technoplant Sdn Bhd

Dengan pertambahan bilangan projek tanam semula selepas itu, wujud keperluan untuk mengeluarkan Bahagian Tanam Semula dari FASSB dan membentuk syarikat baru. Selepas mesyuarat agung luar biasa untuk pemegang saham FASSB, keputusan sebulat suara dibuat iaitu Felda Holdings Sdn Bhd akan membeli kepentingan FASSB di dalam Bahagian Tanam Semula dan satu syarikat baru akan dibentuk. Hasilnya, pada tahun 2005, Felda Technoplant Sdn Bhd ditubuhkan dimana Tuan Hj Hussein Menggong yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Semua kakitangan Bahagian Tanam Semula dipindahkan untuk berkhidmat di syarikat baru ini tanpa sebarang perubahan syarat kerja atau gaji. Pada tahun Julai 2005, penubuhan Felda Technoplant dirasmikan di dalam satu majlis di Dewan Perdana Felda.

Pada tahun 2013, merujuk kepada Mesyuarat Lembaga Felda Bil 297 pada 30 Jan 2013, telah bersetuju supaya Felda mengambilalih 100% pegangan ekuiti Felda Technoplant Sdn Bhd daripada Felda Holdings Berhad (FHB).

2017

Perkembangan Felda Technoplant Sdn Bhd

Sehingga hari ini, Felda Technoplant terus gigih mengatasi cabaran dalam menguruskan ladang milik Felda. Dalam tempoh 12 tahun penubuhan Felda Technoplant, banyak kejayaan yang telah dikecapi. Antaranya ialah terbentuknya 12 buah tapak semaian kekal untuk penghasilan anak sawit di seluruh negara. Keupayaan FTPSB dalam pengurusan ladang juga terbukti melalui penganugerahan Gred A Agronomi untuk 5 buah ladang di bawah seliaan FTPSB. Sehingga penghujung 2017, Felda Technoplant mempunyai lebih 1,500 orang petugas, menguruskan 250 projek dengan keluasan melebihi 250 ribu hektar di seluruh semenanjung Malaysia.